SME BUSINESS CENTRE & NETWORKING

Business infomation in malaysia , networking

KEPENTINGAN WASIAT

 

 

WASIAT ISLAM

1) Kenapa saya perlu menyediakan dokumen wasiat?

Jawapan : Kerana setiap manusia akan menemui kematian. Selepas kematian kita, semua harta akan dibekukan sehinggalah proses pentadbiran pusaka selesai kecuali harta yang mempunyai penama seperti Amanah Saham, Akaun Lembaga Tabung Haji , tanah, insuran, rumah dan sebagainya. Dokumen wasiat dapat mempercepatkan proses pentadbiran harta pusaka.

 

 

2) Adakah Islam mengalakkan menulis Wasiat?

Jawapan : Islam menggalakkan menulis Wasiat. Sabda Rasulullah s.a.w. " Seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3) Bolehkah saya berwasiat kepada ahli-ahli keluarga terdekat?

Jawapan : Menurut pendapat utama Mazhab Shafie, wasiat sebegini adalah harus tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali setelah mendapat persetujuan waris yang lain selepas kematian pewasiat. Begitu juga mewasiatkan lebih daripada 1/3 kepada keluarga terdekat dengan syarat semua waris harus bersetuju.

4) Bolehkah saya menulis Wasiat sedangkan tanggungan saya adalah lebih banyak daripada aset saya?

Jawapan : Anda boleh menulis Wasiat. Akan tetapi tanggungan anda akan diselesaikan dahulu sebelum pembahagian ke atas baki aset boleh dibuat kepada benefisiari.

5) Apakah fungsi penama di dalam KWSP? Bolehkah penama mendapat kesemua wang daripada akaun KWSP apabila saya meninggal kelak?

Jawapan : Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, penama adalah merupakan orang yang melaksanakan Wasiat simati iaitu sebagai pemegang amanah. Penama tersebut tidak boleh mewarisi kesemua harta tersebut tetapi dia mestilah membahagikan harta tersebut mengikut Faraid.

6)Bolehkah saya mengubah kandungan Wasiat saya?

Jawapan : Wasiat yang sudah ditulis boleh diubah pada bila-bila masa yang anda mahu malahan Islam membenarkan pewasiat membatalkan Wasiatnya ketika masih hidup.

7) Apakah itu Wasi dan apa peranannya?

Jawapan : Wasi ialah individu atau organisasi yang dipercayai dan berperanan untuk menguruskan pentadbiran harta pusaka serta menjalankan arahan-arahan lain di dalam dokumen wasiat.

8) Apakah fungsi dokumen wasiat?

Jawapan : Fungsi dokumen wasiat yang utama ialah pengistiharan hasrat pewasiat di dalam pentadbiran harta selepas kematiannya. Di dalam dokumen wasiat boleh dinyatakan perlantikan wasi, pengisytiharan harta sepencarian, cara pembahagian harta pusaka, perlantikan penjaga sah anak dan pendidikan anak malah bagaimana cara sesuatu perniagaan akan diwariskan juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat.

9) Berapa lamakah proses pentadbiran pusaka ini akan selesai sekiranya tanpa dokumen wasiat?

Jawapan : Secara purata bagi kes si mati yang tidak mempunyai dokumen wasiat, proses pentadbiran pusaka mereka akan mengambil masa di antara 2 hingga 6 tahun. Walau bagaimanapun kami selalu juga terjumpa kes pentadbiran pusaka yang mengambil masa melebihi 12 tahun untuk diselesaikan.

10) Bagi si mati yang mempunyai dokumen wasiat, berapa lama pula tempoh pentadbiran pusaka akan berjalan?

Jawapan : Secara purata, bagi kes si mati yang mempunyai dokumen wasiat pula, proses pentadbiran pusaka akan mengambil masa di antara 6 hingga 8 bulan sahaja.

11) Apakah penyebab proses pusaka dengan dokumen wasiat berjalan lebih cepat dari proses pusaka tanpa dokumen wasiat?

Jawapan : Perbezaan yang paling ketara ialah perlantikan WASI atau pentadbir dan pengistiharan harta di dalam dokumen wasiat. Apabila pentadbir sudah dilantik, ia akan terus dapat memulakan proses pentadbiran pusaka setelah kematian pewasiat.

12) Apakah waris saya akan dapat sepanjang tempoh waktu pentadbiran pusaka dijalankan?

Jawapan : Waris-waris tidak akan mendapat apa-apa bahagian harta kecuali harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insuran.

13) Apakah dokumen yang saya perlu kumpulkan untuk menyediakan dokumen wasiat saya?

Jawapan : Sebenarnya, dokumen-dokumen yang perlu adalah seperti geran tanah dan rumah, nombor akaun KWSP, nombor akaun bank, nombor Amanah Saham Bumiputera, salinan kad pengenalan dan surat beranak waris-waris.